Merenung untuk menanam Syukur

Kenangan lama biarlah aku simpan untuk dibuat tatapan semasa aku sudah mula merindui. Kenangan lama itu biarlah aku kunci sahaja dalam benak fikiran dan kotak memori aku, aku tidak akan mula mengenang walau ia menyimpan seribu satu kebahagiaan ataupun kedukaan, jikalau diingat pasti perit tikaman masa lalu dirasa. Lebih perit daripada kulit dada dicarik-carik. Mungkin?

Kata orang, masa lalu atau kenangan silam ibarat cermin sisi sesebuah kenderaan. Cermin sisi terbaik jika hanya dipandang sepintas lalu untuk keselamatan pemandu, namun akan menjadi keburukan dan padah jika dipandang terlampau lama hingga mengabaikan pandangan hadapan. Begitulah juga kehidupan, masa yang lampau bukanlah bagiku ia buruk seburuk selamanya, ia boleh menjadi baik jika kita hanya merenung akan ia bertujuan untuk keselamatan kita pada hari berikutnya. Tapi, sebagaimana cermin sisi itu tadi, kenangan yang dulu jika direnung, ditatap, diingat-ingatkan terlampau lama ia boleh mengundang parah dan padah kepada kita.

Kerana apa ia boleh memberi padah jika direnung terlalu lama? Kerana kita membuang masa dengan perkara yang tidak boleh lagi dihidupkan, masa yang tidak boleh dikembalikan, perlakuan yang tidak boleh lagi diulang. Demikian mengapa kita masih perlu menatap apa yang dah lalu? Bukankah kita hidup pada hari ini, bertujuan untuk hari ini, berbakti untuk hari ini?

Bagi orang berfikir, mereka tidak akan dilipat dengan masa lalu, bahkan mereka akan melipat masa lalu itu hingga sekecil-kecil lipatan hingga bersangka tidak mahu lagi dibuka. Orang yang hidup dengan masa lalu dan kenangan lampau, mereka umpama meletakkan diri mereka di dalam penjara buatan mereka sendiri, dan mengikat diri mereka dengan ikatan yang begitu kuat daripada melihat cahaya harapan hari-hari di depannya.

Berbagai peristiwa yang memberi kita kebahagiaan atau kedukaan, kita asingkanlah saja. Asingkan ia tidak bermakna kita membuang ia terus dari benak fikiran dan kotak memori kita, tapi kita letakkan ia secara berasingan dari harapan yang hari ini; kerana berbagai peristiwa tersebut hanya sebahagian dari masa lalu yang kita sendiri tidak mampu untuk kembalikan dan sekarang apa yang penting semuanya telah berakhir.

Kembalilah membuka helaian-helaian baru, tutup dan simpanlah dahulu lembaran yang lalu. Setiap angin akan bertiup ke depan, setiap air akan mengalir ke depan, setiap khalifah seperti akan bergerak ke depan. Oleh itu, janganlah kita berpaling daripada Sunnah kehidupan!



“Semalam telah kau tinggalkan, hari ini kau sedang berhadapan, esoknya ia masih lagi menjadi harapan. Maka, hiduplah sebagai seorang pejuang yang mahukan kemenangan pada hari dia sedang berhadapan”

Muhammad Izzat Bin Ayub
16 Februari 2017

Comments

Popular posts from this blog

Buat aku terfikir

Masalah kita, banyak berfikir dan cakap...

DIPENJARA SEINDAH BICARA