DIPENJARA SEINDAH BICARA

     “Bicara adalah merupakan kemampuan untuk mengucapkan bunyi-bunyi artikulasi atau kata-kata untuk mengekspresikan, menyatakan serta menyampaikan segala apa yang ada di fikiran (idea), gagasan, dan perasaan yang dirasa di dalam hati” (Tarigan, 2008). Demikian merupakan definisi yang boleh dikira cukup lengkap bagi kita untuk memahami dengan mudah, bahawa seseorang anak adam itu tidak akan berbicara melainkan ada tujuannya; baik untuk mengatakan sesuatu yang ada di fikirannya, atau mungkin menyatakan apa yang dirasakan dalam dadanya, seperti cinta seorang lelaki kepada seseorang perempuan yang disukai, tampaknya begitulah.

Bicara, mengekspresikan kata-kata beserta nada suara mengikut bait yang sedia ada, semua orang mampu berbuat demikian kerana itulah antara kurnia Tuhan kepada hambaNya. Ada yang berbicara dan bicaranya itu mampu melepaskan dirinya daripada sesuatu hal, manakala ada sesetengah yang lain berbicara dan bicaranya itu mampu memenjarakan diri mereka di dalam penjara buatan mereka sendiri. Bagi orang yang berakal, sudah pastilah mereka akan berbicara untuk melepaskan diri mereka, mana mungkin mereka berbicara untuk memenjarakan diri sendiri. Kerana sifat manusia itu sendiri mahu bebas, tenang, tenteram daripada segala apa jua jenis perkara yang menghalang.

Adakala ketika seseorang sedang berbicara untuk membebaskan diri mereka, pada masa itu kata-kata dan bicara mereka menjadi indah belaka. Dan pada masa itu juga, mereka sudah tidak sedar bahawa mereka telah memenjarakan orang yang mendengar bicaraan itu ke dalam ‘penjara’ keindahan kata-kata; ini bukan bermaksud menabur janji semata, bahkan ia lebih daripada itu. Bagaimana bicara seseorang itu mampu memenjarakan orang lain ke dalam keindahan kata-kata adalah tidak mustahil. Kalau hari ini saya katakan bahawa saya seorang yang baik, dan esoknya kamu melihat saya berbuat maksiat, maka itulah yang dikatakan dipenjara seindah bicara. Kata-kata boleh menipu, mendusta, mengelak, bahkan boleh juga memutar.

Sungguh, bagi saya setiap kata-kata dalam bicara adalah suatu pengharapan. Dimana pengharapan itu sama ada boleh menghidupkan jiwa yang mendengar, membaca atau boleh mematikan. Bicara, kata-kata itu mahal harganya. Kerana itul adalah jalan bagaimana untuk kita menyatakan sesuatu, sesuatu apa yang dirasa dan difikir oleh baik hati atau akal kita. Demikian, bicara tidak bolehlah kita guna sewenang-wenangnya dengan kadar untuk melepaskan diri sendiri tanpa memikirkan ‘freedom’ bagi orang lain. Mungkin bagi kita ia hanya bicara, kata-kata kosong. Tapi, kita sesekali tidak akan pernah tahu bagaimana pula kiranya ia pada pandangan orang yang membaca dan mendengar kata-kata kita itu.

Oleh itu, bagi saya sesuatu perbicaraan atau kata-kata itu mestilah bersifat ‘pelepas jiwa’, kerana Al-Quran itu sendiri turun untuk melepaskan umat manusia daripada kejahilan. Jangan jadikan bicara dan kata-kata itu sebagai alat untuk kita memenjara seseorang, jangan kita gunakan ia dengan hiasan yang indah semata-mata untuk melepaskan diri kita, semata-mata untuk memberi kepuasan kepada diri sendiri. Itu sesekali tidak adil ! Demikian, didoakan agar saya dan kita semua sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum menyusun bait kata-kata dalam sebuah perbicaraan.  Moga-moga Allah membantu.



Muhammad Izzat Bin Ayub, 17 Februari 2017, Asrama Seri Warisan 

Comments

Popular posts from this blog

Buat aku terfikir

Masalah kita, banyak berfikir dan cakap...